Mungkin benar, ada kisah-kisah yang dilakar oleh seorang penulis adalah hal-hal yang begitu diimpikan. Namun dia lebih jelas, bahawa hal-hal itu sangat sukar untuk digenggam.
Mungkin benar, ada bahagian dalam coretannya yang ingin dia tujukan pada sesiapa. Kerana tak terluah melalui madah bicara, lalu dizahirkan dalam susunan aksara.
Mungkin juga benar, ada perit kenangan yang sering mengganggu tenang jiwa. Mahu dia padamkan dari segenap penjuru ingatan tapi tak akan pernah mampu untuk disingkir. Lalu dilepaskan kenangan itu melalui baris-baris yang dipahat pada kertas tak bertanda.
Benar...
Setiap penulis cuba menghias takdir melalui patah kata yang diolah menjadi sebuah cerita. Tapi penulis juga tak pernah lepas dari simpulan takdir.
Seindah mana pun dia melakar takdir sebuah kisah, tetap saja tak terlawan dengan takdir Tuhan. Tetap saja dirinya sendiri perlu tabah mengharungi jerih payah ujian. Tetap saja perlu dia akui bahawa rencana Tuhan adalah sangat indah disulami belasNya.
Dan aku akui, susunan takdir Tuhan penuh dihiasi hikmah. Sedang tintaku hanyalah harapan-harapan, cebisan luahan dan galau keresahan yang penuh dengan titik-titik cela.
Tuhan, moga saja setiap jalan takdir yang telah kau garap cantik untukku, malah ketika aku masih dalam kandungan ibu...meningkatkan ketaatanku pada-Mu, bukan menghindarkan aku dari rahmat-Mu.
110817, 18Zulkaedah1438H
1100pagi
#neverstopwriting
#menulislahsepertisedangberdoa-anonymous
No comments:
Post a Comment