Monday 11 December 2017

Re-me-dy



Cahaya dalam kelam
Terang dalam gelap
Kesenangan dalam kepayahan

Surat-surat cinta daripada Tuhan tidak pernah menipu. Sepanjang beberapa bulan ini, walau ujian terasa berat menghempap diri, serasa aku...Tuhan tidak pernah tinggalkan aku sendiri.

Iya. Memang benar segala perit getir ini daripada Tuhan. Tapi, tidakkah penawar bagi bilah-bilah luka yang dalam ini juga daripada Dia?

Lembaran kalam Tuhan aku selak di setiap kali kesan luka terasa mencucuk tanpa belas. Dan Tuhan...dengan ihsanNya, dengan belasNya. Betapa Dia memahami kepayahan aku, lalu indah kalamnya dikirim bagi melapangkan jiwa. Jiwa yang merusuh kerana begitu gerunkan ujian dunia.

Tuhan, aku tidak sendiri bukan?

"Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." (94:6)

12/12/17
Johor Bahru - Gerik

Friday 25 August 2017

Kembali







Katakanlah (wahai Muhammad) : "Wahai hamba-hambaKu  yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. 

"Dan kembalilah kamu kepada  Tuhan kamu dengan bertaubat,  serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum  kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberi pertolongan.

(Az-Zumar, 39 : 53 - 54)



250817
Langit JB menangis
Masih menapak untuk kembali




Tuesday 15 August 2017

Save Me From Myself


Harris J - Save Me From Myself


I want it all
I want it now
Forget about the consequences
I know that it’s bad, it’s better to wait 
But sometimes I can be selfish
And the only sound I hear is right now
And all my patience gets locked out
I know that it’s wrong
And I want to change
I need You here with me


Allah, Allah, Allah
Save me from myself
Allah, Allah, Allah
Lord I need Your help
Allah, Allah, Allah
Save me from myself
Allah, Allah, Allah 


Big lights pull me in every time
And it’s so hard to break a pattern
But I see it clear, what’s deep inside
Is the only thing that really matters
So tell me how, how to turn it around
Before my senses hit the ground
‘Coz I know that’s it’s wrong
And I want to change
I need You here with me


Save me from myself
‘Coz I tripped and fell
And there is nothing, nothing
that I won’t do
Oh, save me from myself
‘Coz I need Your help
And now I’m running, running
Back to You


Writers: Maher Zain, Paddy Dalton, Moh Denebi, Bara Kherig



Thursday 10 August 2017

C-e-r-i-t-a


Mungkin benar, ada kisah-kisah yang dilakar oleh seorang penulis adalah hal-hal yang begitu diimpikan. Namun dia lebih jelas, bahawa hal-hal itu sangat sukar untuk digenggam.

Mungkin benar, ada bahagian dalam coretannya yang ingin dia tujukan pada sesiapa. Kerana tak terluah melalui madah bicara, lalu dizahirkan dalam susunan aksara.

Mungkin juga benar, ada perit kenangan yang sering mengganggu tenang jiwa. Mahu dia padamkan dari segenap penjuru ingatan tapi tak akan pernah mampu untuk disingkir. Lalu dilepaskan kenangan itu melalui baris-baris yang dipahat pada kertas tak bertanda.

Benar...

Setiap penulis cuba menghias takdir melalui patah kata yang diolah menjadi sebuah cerita. Tapi penulis juga tak pernah lepas dari simpulan takdir.

Seindah mana pun dia melakar takdir sebuah kisah, tetap saja tak terlawan dengan takdir Tuhan. Tetap saja dirinya sendiri perlu tabah mengharungi jerih payah ujian. Tetap saja perlu dia akui bahawa rencana Tuhan adalah sangat indah disulami belasNya.

Dan aku akui, susunan takdir Tuhan penuh dihiasi hikmah. Sedang tintaku hanyalah harapan-harapan, cebisan luahan dan galau keresahan yang penuh dengan titik-titik cela.

Tuhan, moga saja setiap jalan takdir yang telah kau garap cantik untukku, malah ketika aku masih dalam kandungan ibu...meningkatkan ketaatanku pada-Mu, bukan menghindarkan aku dari rahmat-Mu.

110817, 18Zulkaedah1438H
1100pagi

#neverstopwriting
#menulislahsepertisedangberdoa-anonymous

Sunday 6 August 2017

Luka


Bilah-bilah luka
Makin dalam terbelah
Makin tersayat
Makin tak tercantum

Ku selongkar hutan jiwa
Menjejak punca
Yang ditemui
Adalah khilaf diri

Aku...
Sedang menanggung beban kesal
asbab kejahilan lalu
Sedang menahan remuk jiwa
bahana zalimnya diri
pada malu dan imanku

Aku...
Sedang cuba bertahan
menjejak jalan pulang
walau perit dan patah
tak putus menggugah

Apa mungkin masih ada istana indah untukku?
Setelah kesalahan yang begitu menekan kalbu?

07082017
14Zulkaedah1438H
0835pagi

Tuhan, sembuhkan luka semalam...



Saturday 5 August 2017

C.i.n.t.a.


"Antara hati yang sukar ditembus adalah hati orang bercinta," gumamku, rendah.

"Kenapa?"

"Sebab waktu ini bagi orang yang sedang dilamun cinta, segalanya akan tampak indah biarpun pada hukum adalah salah. Hati orang sebegini menganggap benar adalah salah dan salah menjadi benar."

Sempat aku tangkap kerutan di dahi dia. Pening barangkali dengan ayatku.

"Tak semua macam tu, kan?"

"Iya. Cuma segelintir. Tapi hari ini, segelintir itu sudah mula merebak."

"Cinta tu salah?" soalnya.

Aku menggeleng. Menidakkan. Cinta tak salah. Hanya saja manusia yang tidak pandai mengendalikan cinta. Sehingga membuatkan cinta seperti tajamnya mata pedang. Bila ia dihunus ke tubuh, manusia boleh mati.

"Cinta itu buta," ujarku lemah.

"Klise," balasnya sambil tertawa kecil.

Kepala aku jatuhkan tanda setuju. Mata difokuskan pada kasut yang sedang menguis rumput kering.  

"Klise...tapi tepat, dan begitu menusuk." Jeda, mencuri nafas.

"...Kerana cinta, manusia dibutakan oleh hawa nafsu. Buta untuk menilai mana halal, mana haram. Ibaratnya cinta telah menghalalkan segala yang haram. Berhubungan tanpa batas, membicarakan hal-hal melalaikan dikatakan tak apa sedangkan antara lelaki dan perempuan punya dinding yang begitu tinggi tanda dibatasi pergaulan. Dinding itu hanya boleh dirobohkan atas nama pernikahan."

"Kerana cinta, manusia menulikan telinga sendiri. Segala nasihat dan teguran dipandang sepi. Ditepis jauh walau berkali-kali peluru yang sama ditembak tanpa lali." Dia pula menyambung sambil menggeleng kesal.

Jiwa mula dihuni sebak. Bergetar suaraku menuturkan ini. "Yang paling parah...hati sampai nazak bahana tenggelam dalam lautan cinta tanpa iman. Hilang pedoman. Hilang maruah. Hilang teman. Paling aku khuatirkan, hilang Tuhan. Sedangkan jiwa seorang manusia sangat memerlukan Tuhan walaupun bisikan durjana syaitan sentiasa berbisik menafikan."

"Ramai yang tenggelam dalam lautan cinta tak bertujuan..."

"Tapi ramai juga yang bangkit kembali selepas kejatuhan, kan?" pintasnya.

Pandangan dilontarkan pada tasik yang sedang beralun damai. "Iya. Cuma..." 

"Cuma apa?" 

"Bayang-bayang masa lalu akan terus mengejar rapat tanpa jemu." 

050817
13Zulkaedah1438H
11.12malam.


Monday 24 July 2017

Medium


"Kau pernah tak jumpa seseorang, dan orang tu begitu tinggalkan kesan dalam hati kau..."

Dahi aku berkerut. "Maksudnya apa ni? Jatuh cinta?"

"Bukanlah!"

"Dah tu?"

"Maksud aku, orang yang ditakdirkan bertemu kau tu buat kau rasa nak berubah," terang dia kat sebelah.

Ohh.

Pernah je. Biasa kot jumpa. Kadang jumpa orang tepi jalan, tengok keadaan dia yang serba kurang nak dibandingkan dengan diri sendiri ni pun boleh jentik hati untuk lebih bersyukur. Tak ke?

Dalam hidup ni, setiap tingkah laku kita ada saja yang memerhati. Tanpa kita sedar pun. Allah dah tentu-tentu Maha Melihat. Dan sepatutnya jadi sebab untuk kita rasa gerun dan takut lakukan kemungkaran kerana khuatirkan azab Tuhan. Tak kesahlah ketika bersendirian mahupun berteman.

Tak mustahil perilaku kita boleh jadi asbab hati seseorang tersentuh untuk melakukan kebaikan. Contohnya macam solat awal waktu. Hari-hari tengok kawan lakukan rutin sama. Azan je, terus ambil wudhuk. Tak ke terbersit dalam hati walau sedikit supaya jadikan dia contoh ikutan. 

Selalu kita tak perasan Allah hantar seseorang sebagai medium. Titiskan air pada hati yang dah lama kering. Ada orang dipertemukan dengan orang yang menariknya jatuh dalam kelamnya jahiliah. Atas sebab itu juga, dia bangun mencari jalan pulang. Allah punya banyak cara nak sentuh hati-hati yang lalai agar kembali pada Dia.

"Macam mana kalau ada orang kata dia berubah sebab manusia. Kau setuju?"

Soalan...Aku diam beberapa detik. Beratnya soalan. Tak mampu memberi jawapan yang tepat, bahu aku angkat. 

"Entahlah. Hanya orang yang mengalami saja tahu kenapa dia kata dia berubah sebab manusia. Memang ada segelintir yang begini. Niat salah pada asalnya. Berubah sebab manusia. Berubah sebab nak terus ada di sisi orang tu. Tapi tak mustahil pun lama-lama niatnya ikhlas berubah semata-mata kerana redha Allah. Bukan ke hati manusia Allah yang pegang? Apa pun bagi aku manusia adalah sekadar medium sesuatu perubahan berlaku. Yang Tuhan hantar sebagai asbab menghidupkan jiwa yang terlalu lelah."

"Siapa orang yang paling bagi kesan pada jiwa kau dan buat kau pilih jalan ni?"

Aku sembunyi senyum. Biarlah rahsia. Sama ada yang pernah datang menjadi punca aku jatuh terhumban ke dalam gaung dosa. Atau yang pernah hadir dengan izin Allah bagi menyembuh luka. Aku syukur untuk kedua-duanya.



240717, 1 Zulkaedah 1438H
2048 malam
Bisik pada langit.

Saturday 22 July 2017

Jatuh



"Payahlah kau ni!"

"Apa yang payahnya?"

"Buka hati..."

Senyum. Tatap langit. "Sebab aku takut."

"Takut apa?"

"Jatuh pada yang sia-sia."

Tak mampu membohongi, setiap inci kesal yang membalut waktu saban hari. Rutin tiap saat, jarum jam terus berputar. Namun, kesal tetap bergayut di dahan hati. Tiada tanda ingin mengalah.

Semua orang punya perjalanan hidup tersendiri. Khilaf. Dosa. Salah langkah. Kesannya begitu menusuk pada sekeping hati yang melaluinya.

Kita tak pernah tahu, apa asbab setiap manusia membuat perubahan begitu besar pada diri. Mungkin kerana pernah dikhianati. Lebih-lebih lagi dikhianati oleh diri sendiri. Itu lebih melukakan pastinya.

"Itu sebab hati kau keras gini?" soalnya, merenung tepat pada mata aku.

Angguk kecil, mengiakan. "Kalau keras dan tegas sebegini boleh menahan aku dari jatuh pada yang sia-sia. Tak kesahlah orang ke, kerja ke, benda ke... Kenapa tidak, kan?"

"Kesal?"

"Kesal dan syukur."

Dahi dia berkerut. "Syukur?"

Nafas panjang aku hela. Tanpa pandang raut wajahnya yang masih tertanya. "Kalau bukan kerana hal lalu, mungkin aku tak jadi aku yang sekarang. Pengalaman buat kita lebih hargai diri yang sekarang. Kalau aku tak lalui semua ini, boleh jadi aku masih lagi aku yang dulu. Yang berfikir bahwa hidup ini sekadar cukup lakukan apa yang Tuhan suruh secara ala kadar dah boleh buat aku masuk syurga. Yang terlalu yakin diri akan masuk syurga dengan kebaikan-kebaikan tak seberapa. Yang memandang orang 'di bawah' aku dengan mata negatif sedang diri sendiri penuh cela."

Perlahan, aku geleng kepala. Menahan butir hangat dari gugur. Jauhnya aku jatuh dalam ruang leka. Dihanyutkan syaitan dengan fikiran bahwa aku ini terbaik sedang hakikatnya...

Allah-sedang-tutup-aib.

Terasa bahu dicengkam kemas. Tahu, tanda dia mengerti maksud di sebalik luahan yang putus.

Aku kembalikan pandangan ke dada langit. Tersenyum. Ada yang turut memahami. Lebih daripada kefahaman aku tentang hati sendiri tentunya.


220717, 29 Syawal 1438H
2155 malam
Masih mencari jalan pulang.


Thursday 20 July 2017

Ke-ter-ikat-an


Bila kita pilih untuk mengikat hati pada manusia lebih daripada Tuhan.
Bila kita pilih untuk mengikat hati pada harta lebih daripada Tuhan.
Bila kita pilih untuk mengikat hati pada kemahuan dunia lebih daripada Tuhan.

Itu tanda kita telah meletakkan cinta manusia, harta juga kemahuan dunia pada hati sendiri. Tidak pada tangan yang sepatutnya menggenggam semua ini.

Ketika mana seseorang diambil daripada kehidupanmu, jiwa meruntun pilu. Bayangkan sosok tubuh itu, yang pernah menemani hari-hari kamu akhirnya pergi. Tanpa dapat kau tatap senyumnya. Tanpa mampu kau dengar bicara santunnya. Tanpa mampu kau sentuh tangannya. Dia sudah pulang. Pulang kepada hakikat sebenar kehidupan. Pulang pada yang menciptakan. Pulang kerana ternyata ia milik Tuhan.

Ketika mana harta mahupun keinginan direntap tanpa rela, saat itu kau mula tersungkur lemah. Jatuh tertiarap menyembah bumi. Kerana seluruh ruang hati telah diisi dengan kemahuan-kemahuan yang pada anggapanmu, harus disebatikan dalam detak jantung dan hela nafas.

Andai kita tahu. Sebenarnya, seberapa sakit yang mencengkam hati tatkala ia diambil. Seberapa baldi air mata yang tumpah kesan ngilu akibat kehilangan. Itu adalah nilai seberapa kuat ikatan kita dengan hal-hal dunia.

Barangkali kadang kita terlupa bahawa dunia, tak ubah seperti pinjaman. Begitu juga 'hal-hal' di dalamnya. Dipinjam dan sampai masa, perlu dipulangkan. Dengan rela mahupun tanpa rela.

Lalu, dengan segala keterikatan yang begitu kuat pada dunia...
Di mana bahagian ikatan kita pada Tuhan? Apakah telah lenyap ditenggelami utuhnya simpulan tali dengan urusan dunia?
Atau ruang hati itu telah mula dikosongkan dan diisi dengan 'ke-ter-ikat-an' pada Tuhan?

Dan pada akhirnya...hamba yang lemah ini tetap kembali ke pangkuan Tuhan.


200717, 26 Syawal 1438H

Rujukan: 
Hati ini Milik Mu (adaptasi oleh Ezzah Mahmud), drpd Reclaim Your Heart (Yasmin Mogahed)





Sunday 16 July 2017

B-u-n-t-u


Make a decision for the sake of Allah.



Tuhan,
Bukakan jalan keluar
Tunjukkan mana yang benar
dan mana yang menyimpang

Demi-Mu
Demi agama
Demi kebaikan dunia akhirat
Perlihatkanlah jawapan yang tepat.



"When in doubt, pray. God will give you the answers you need at the right moment at the right time. He may not always say yes, but there's a good reason why He said no and that is because He is trying to protect you." - Unspoken thoughts.



#160717
#Tawakkal

Friday 14 July 2017

Tik. tok.


Sambil drive balik dari sekolah, aku pasang radio. Apa entah siarannya. Macam biasa hari jumaat akan ada sesi temubual dengan artis-artis yang berhijrah.

"Apa perkara yang paling kesal pada anda? Yang membuatkan anda rasa kalau masa boleh diundur semula, anda akan tebus balik semua tu?"

Soalan ni buat aku terpaku. Segala jawapan artis tu sekadar angin lalu. Yang sedang berdengung rancak di telinga berulang kali adalah soalan tadi. Tanpa henti.

Aku mula tanya pada diri. Apa yang paling dikesalkan selama Tuhan pinjam nafas dalam dua-puluh-enam tahun ni.

Masa.
Masa yang telah aku bazirkan dengan perkara sia-sia.
Masa yang Tuhan pinjamkan, tapi telah aku nodakan dengan debu-debu dosa.
Masa remaja yang sepatutnya dihiasi cinta Tuhan, namun telah aku cemari kerana hawa nafsu tak terlawan.

Andai. Andai saja aku mampu undur semula masa. Cuci setiap kotoran pada jasad dan jiwa. Tebas semak samun dosa kian membukit tanpa batas.

Sebak. Kerana hakikatnya mesin doraemon tak pernah wujud untuk aku kembali pada masa lalu, perbetulkan kesalahan dulu.

Hiba. Kerana tak semua manusia mampu terima masa silam manusia lain. Walau diusahakan sehabis daya untuk berhijrah. Gelap pekat noda semalam masih dipertikai. Jerih payah berperang dengan jiwa sendiri bila bayangan silam mengejar tak lepas. Patah pedih berjuang bangun dari jatuh kelmarin tak terlihat dalam kesamaran. Entah berapa kali, tubuh cuba menahan longlai kerana perkataan 'tidak layak' terlalu menekan.

'Kesal' itu mungkin tak dilihat oleh mata kasar manusia lain. Kerana seringkali...hitam tetap hitam walau bergelen air disimbah untuk membersihkan.

Tapi setidaknya Tuhan dengan belas-Nya masih beri ruang dan waktu. Ruang untuk kembali bertatih di atas jalan-Nya. Waktu untuk menebus semula saat-saat yang terbazir dan digantikan dengan jam-jam ibadah demi meraih redha-Nya.

Tidakkah kita hidup untuk kembali pada-Nya? Kasihnya Dia pada setiap hamba. Tidak dipandang kotoran-kotoran semalam yang begitu cemar. Tapi yang dinilai adalah seberapa kuat kita bertahan dan menyusun langkah demi mencari jalan pulang.


"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Surah Al-Asr : 1-3)



140717
Jumaat
11.30 malam.


Saturday 8 July 2017

.









Akhir
Tanpa pernah bermula








"Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah." 



#080717
#hujan







Tuesday 4 July 2017

.










Betapa singkat masa
Entah setinggi mana gunung dosa
Gugurkannya Tuhan
Leburkanlah
Izinkan semuanya ditebus
Dalam waktu yang masih tersisa.