Saturday, 5 August 2017

C.i.n.t.a.


"Antara hati yang sukar ditembus adalah hati orang bercinta," gumamku, rendah.

"Kenapa?"

"Sebab waktu ini bagi orang yang sedang dilamun cinta, segalanya akan tampak indah biarpun pada hukum adalah salah. Hati orang sebegini menganggap benar adalah salah dan salah menjadi benar."

Sempat aku tangkap kerutan di dahi dia. Pening barangkali dengan ayatku.

"Tak semua macam tu, kan?"

"Iya. Cuma segelintir. Tapi hari ini, segelintir itu sudah mula merebak."

"Cinta tu salah?" soalnya.

Aku menggeleng. Menidakkan. Cinta tak salah. Hanya saja manusia yang tidak pandai mengendalikan cinta. Sehingga membuatkan cinta seperti tajamnya mata pedang. Bila ia dihunus ke tubuh, manusia boleh mati.

"Cinta itu buta," ujarku lemah.

"Klise," balasnya sambil tertawa kecil.

Kepala aku jatuhkan tanda setuju. Mata difokuskan pada kasut yang sedang menguis rumput kering.  

"Klise...tapi tepat, dan begitu menusuk." Jeda, mencuri nafas.

"...Kerana cinta, manusia dibutakan oleh hawa nafsu. Buta untuk menilai mana halal, mana haram. Ibaratnya cinta telah menghalalkan segala yang haram. Berhubungan tanpa batas, membicarakan hal-hal melalaikan dikatakan tak apa sedangkan antara lelaki dan perempuan punya dinding yang begitu tinggi tanda dibatasi pergaulan. Dinding itu hanya boleh dirobohkan atas nama pernikahan."

"Kerana cinta, manusia menulikan telinga sendiri. Segala nasihat dan teguran dipandang sepi. Ditepis jauh walau berkali-kali peluru yang sama ditembak tanpa lali." Dia pula menyambung sambil menggeleng kesal.

Jiwa mula dihuni sebak. Bergetar suaraku menuturkan ini. "Yang paling parah...hati sampai nazak bahana tenggelam dalam lautan cinta tanpa iman. Hilang pedoman. Hilang maruah. Hilang teman. Paling aku khuatirkan, hilang Tuhan. Sedangkan jiwa seorang manusia sangat memerlukan Tuhan walaupun bisikan durjana syaitan sentiasa berbisik menafikan."

"Ramai yang tenggelam dalam lautan cinta tak bertujuan..."

"Tapi ramai juga yang bangkit kembali selepas kejatuhan, kan?" pintasnya.

Pandangan dilontarkan pada tasik yang sedang beralun damai. "Iya. Cuma..." 

"Cuma apa?" 

"Bayang-bayang masa lalu akan terus mengejar rapat tanpa jemu." 

050817
13Zulkaedah1438H
11.12malam.


No comments:

Post a Comment