"Kau pernah tak jumpa seseorang, dan orang tu begitu tinggalkan kesan dalam hati kau..."
Dahi aku berkerut. "Maksudnya apa ni? Jatuh cinta?"
"Bukanlah!"
"Dah tu?"
"Maksud aku, orang yang ditakdirkan bertemu kau tu buat kau rasa nak berubah," terang dia kat sebelah.
Ohh.
Pernah je. Biasa kot jumpa. Kadang jumpa orang tepi jalan, tengok keadaan dia yang serba kurang nak dibandingkan dengan diri sendiri ni pun boleh jentik hati untuk lebih bersyukur. Tak ke?
Dalam hidup ni, setiap tingkah laku kita ada saja yang memerhati. Tanpa kita sedar pun. Allah dah tentu-tentu Maha Melihat. Dan sepatutnya jadi sebab untuk kita rasa gerun dan takut lakukan kemungkaran kerana khuatirkan azab Tuhan. Tak kesahlah ketika bersendirian mahupun berteman.
Tak mustahil perilaku kita boleh jadi asbab hati seseorang tersentuh untuk melakukan kebaikan. Contohnya macam solat awal waktu. Hari-hari tengok kawan lakukan rutin sama. Azan je, terus ambil wudhuk. Tak ke terbersit dalam hati walau sedikit supaya jadikan dia contoh ikutan.
Selalu kita tak perasan Allah hantar seseorang sebagai medium. Titiskan air pada hati yang dah lama kering. Ada orang dipertemukan dengan orang yang menariknya jatuh dalam kelamnya jahiliah. Atas sebab itu juga, dia bangun mencari jalan pulang. Allah punya banyak cara nak sentuh hati-hati yang lalai agar kembali pada Dia.
"Macam mana kalau ada orang kata dia berubah sebab manusia. Kau setuju?"
Soalan...Aku diam beberapa detik. Beratnya soalan. Tak mampu memberi jawapan yang tepat, bahu aku angkat.
"Entahlah. Hanya orang yang mengalami saja tahu kenapa dia kata dia berubah sebab manusia. Memang ada segelintir yang begini. Niat salah pada asalnya. Berubah sebab manusia. Berubah sebab nak terus ada di sisi orang tu. Tapi tak mustahil pun lama-lama niatnya ikhlas berubah semata-mata kerana redha Allah. Bukan ke hati manusia Allah yang pegang? Apa pun bagi aku manusia adalah sekadar medium sesuatu perubahan berlaku. Yang Tuhan hantar sebagai asbab menghidupkan jiwa yang terlalu lelah."
"Siapa orang yang paling bagi kesan pada jiwa kau dan buat kau pilih jalan ni?"
Aku sembunyi senyum. Biarlah rahsia. Sama ada yang pernah datang menjadi punca aku jatuh terhumban ke dalam gaung dosa. Atau yang pernah hadir dengan izin Allah bagi menyembuh luka. Aku syukur untuk kedua-duanya.
2048 malam
Bisik pada langit.