Friday, 14 July 2017

Tik. tok.


Sambil drive balik dari sekolah, aku pasang radio. Apa entah siarannya. Macam biasa hari jumaat akan ada sesi temubual dengan artis-artis yang berhijrah.

"Apa perkara yang paling kesal pada anda? Yang membuatkan anda rasa kalau masa boleh diundur semula, anda akan tebus balik semua tu?"

Soalan ni buat aku terpaku. Segala jawapan artis tu sekadar angin lalu. Yang sedang berdengung rancak di telinga berulang kali adalah soalan tadi. Tanpa henti.

Aku mula tanya pada diri. Apa yang paling dikesalkan selama Tuhan pinjam nafas dalam dua-puluh-enam tahun ni.

Masa.
Masa yang telah aku bazirkan dengan perkara sia-sia.
Masa yang Tuhan pinjamkan, tapi telah aku nodakan dengan debu-debu dosa.
Masa remaja yang sepatutnya dihiasi cinta Tuhan, namun telah aku cemari kerana hawa nafsu tak terlawan.

Andai. Andai saja aku mampu undur semula masa. Cuci setiap kotoran pada jasad dan jiwa. Tebas semak samun dosa kian membukit tanpa batas.

Sebak. Kerana hakikatnya mesin doraemon tak pernah wujud untuk aku kembali pada masa lalu, perbetulkan kesalahan dulu.

Hiba. Kerana tak semua manusia mampu terima masa silam manusia lain. Walau diusahakan sehabis daya untuk berhijrah. Gelap pekat noda semalam masih dipertikai. Jerih payah berperang dengan jiwa sendiri bila bayangan silam mengejar tak lepas. Patah pedih berjuang bangun dari jatuh kelmarin tak terlihat dalam kesamaran. Entah berapa kali, tubuh cuba menahan longlai kerana perkataan 'tidak layak' terlalu menekan.

'Kesal' itu mungkin tak dilihat oleh mata kasar manusia lain. Kerana seringkali...hitam tetap hitam walau bergelen air disimbah untuk membersihkan.

Tapi setidaknya Tuhan dengan belas-Nya masih beri ruang dan waktu. Ruang untuk kembali bertatih di atas jalan-Nya. Waktu untuk menebus semula saat-saat yang terbazir dan digantikan dengan jam-jam ibadah demi meraih redha-Nya.

Tidakkah kita hidup untuk kembali pada-Nya? Kasihnya Dia pada setiap hamba. Tidak dipandang kotoran-kotoran semalam yang begitu cemar. Tapi yang dinilai adalah seberapa kuat kita bertahan dan menyusun langkah demi mencari jalan pulang.


"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Surah Al-Asr : 1-3)



140717
Jumaat
11.30 malam.


No comments:

Post a Comment