Bila kita pilih untuk mengikat hati pada manusia lebih daripada Tuhan.
Bila kita pilih untuk mengikat hati pada harta lebih daripada Tuhan.
Bila kita pilih untuk mengikat hati pada kemahuan dunia lebih daripada Tuhan.
Itu tanda kita telah meletakkan cinta manusia, harta juga kemahuan dunia pada hati sendiri. Tidak pada tangan yang sepatutnya menggenggam semua ini.
Ketika mana seseorang diambil daripada kehidupanmu, jiwa meruntun pilu. Bayangkan sosok tubuh itu, yang pernah menemani hari-hari kamu akhirnya pergi. Tanpa dapat kau tatap senyumnya. Tanpa mampu kau dengar bicara santunnya. Tanpa mampu kau sentuh tangannya. Dia sudah pulang. Pulang kepada hakikat sebenar kehidupan. Pulang pada yang menciptakan. Pulang kerana ternyata ia milik Tuhan.
Ketika mana harta mahupun keinginan direntap tanpa rela, saat itu kau mula tersungkur lemah. Jatuh tertiarap menyembah bumi. Kerana seluruh ruang hati telah diisi dengan kemahuan-kemahuan yang pada anggapanmu, harus disebatikan dalam detak jantung dan hela nafas.
Andai kita tahu. Sebenarnya, seberapa sakit yang mencengkam hati tatkala ia diambil. Seberapa baldi air mata yang tumpah kesan ngilu akibat kehilangan. Itu adalah nilai seberapa kuat ikatan kita dengan hal-hal dunia.
Barangkali kadang kita terlupa bahawa dunia, tak ubah seperti pinjaman. Begitu juga 'hal-hal' di dalamnya. Dipinjam dan sampai masa, perlu dipulangkan. Dengan rela mahupun tanpa rela.
Lalu, dengan segala keterikatan yang begitu kuat pada dunia...
Di mana bahagian ikatan kita pada Tuhan? Apakah telah lenyap ditenggelami utuhnya simpulan tali dengan urusan dunia?
Atau ruang hati itu telah mula dikosongkan dan diisi dengan 'ke-ter-ikat-an' pada Tuhan?
Dan pada akhirnya...hamba yang lemah ini tetap kembali ke pangkuan Tuhan.
200717, 26 Syawal 1438H
Rujukan:
Hati ini Milik Mu (adaptasi oleh Ezzah Mahmud), drpd Reclaim Your Heart (Yasmin Mogahed)
No comments:
Post a Comment